
RUANGAN komen di akaun rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini dibanjiri desakan netizen yang meminta polis mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka, pagi tadi.
Terdahulu, menerusi satu hantaran, PDRM menasihatkan orang ramai tidak membawa anak kecil dan warga emas semasa membeli barangan keperluan harian bagi mengelak risiko jangkitan wabak Covid-19.
Susulan hantaran itu, netizen mendesak polis mengambil tindakan terhadap puluhan Ahli Parlimen Pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka dan berarak ke Parlimen yang jelas dilihat melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.
Malah, mereka mendesak PDRM tidak menjalankan penguatkuasaan terpilih, kerana ketidakpatuhan Ahli Parlimen itu terhadap SOP akan meningkatkan penularan Covid-19.
“Maaf la nk tanya ja adakah berkumpul di Dataran Merdeka dibenarkan setelah dua kejadian berkumpul tak ada tangkapan atau kompaun.. hmm lepas ni boleh la solat kat Dataran agaknya hmm..tolong pihak berkuasa berlaku adil,” tulis Adib Sofri.
“Pagi tadi ramai warga emas berkumpul mcm orang gila kat dataran mohon #pdrm saman warga² emas yang cetus kan kemarahan rakyat,” kata Shasul Anuwar.
Sementara Red Ahmad berkata, pihak berkuasa tidak sepatutnya hanya menyaman rakyat semata-mata dan ahli politik terlepas daripada tindakan, selain meminta PDRM berlaku adi.
“Boleh tolong jelaskan kenapa tiada tangkapan untuk Perhimpunan haram hari itu dan hari ini. Yang Anwar Ibrahim buat tu?
“Sedangkan jelas dalam SOP MKN tidak dibenarkan ada perhimpunan?? Apa tindakan pihak polis? Kenapa sentiasa ada double standard sedangkan rakyat solat Aidiladha terus ditangkap dan digari,” tulis Aaron Apiz.
Pagi tadi, puluhan Ahli Parlimen Pembangkang berarak menuju semula ke Parlimen selepas berkumpul di Dataran Merdeka.
Mereka berarak beramai-ramai berjalan kaki sambil membawa sepanduk yang meminta Perdana Menteri dan anggota Kabinet meletakkan jawatan.
Selain Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), turut kelihatan Ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah dan Parti Pejuang Tanah Air.
Media sosial hari ini dibanjiri gambar sekitar himpunan dan perarakan Ahli Parlimen Pembangkang yang sekali gus membangkit kemarahan orang ramai. – Malaysiapost
