Mesyuarat MKT esok perhalusi pendirian, tindakan Umno

0
1
zahid hamidi

MESYUARAT khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) esok bertujuan memperhalusi pendirian dan tindakan parti untuk mendepani situasi politik semasa.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno amat prihatin dengan isu-isu semasa yang berlaku terutamanya menyentuh krisis hubungan antara Istana dan kerajaan.

“Selain itu, pencabulan terhadap Kedaulatan Institusi Raja, Keluhuran Perlembagaan dan pemandulan terhadap amalan Demokrasi Berparlimen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata mesyuarat tergempar itu akan memberi fokus perbincangan berhubung isu politik terkini dalam negara.

Ahmad berkata antaranya berhubung kenyataan media Istana Negara dan warkah Yang di-Pertuan Agong, selain isu darurat, ordinannya dan penangguhan sidang Parlimen hari ini.

Kali terakhir MKT Umno bermesyuarat ialah pada 7 Julai lalu yang membuat ketetapan memutuskan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here