
KERAJAAN Kedah memaklumkan 80 peratus penduduk negeri itu akan menerima dos lengkap vaksin Covid-19 menjelang akhir Oktober atau awal November ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya mempersiapkan fasiliti vaksinasi lebih besar berikutan menerima lebih banyak bekalan vaksin daripada Kementerian Sains, teknologi dan Inovasi (MOSTI), daripada 80,000 dos seminggu kepada 226,000 dos seminggu.
Katanya, tindakan segera diambil dengan membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di SP Sport Center bermula 6 Ogos yang berkapasiti 5,000 suntikan sehari dengan kerjasama PH Corp, sekali gus menjadi PPV Integrasi terbesar di Kedah.
Selain itu, kerajaan negeri menaiktaraf PPV Awam di Dewan Kenangan Sungao Petani sebagai PPV Mega Integrasi bermula 11 Ogos ini.
Beliau berkata, pihaknya juga meneliti cadangan pembukaan PPV Integrasi di lokasi bersesuaian bagi meningkatkan jumlah suntikan dan menaiktaraf PPV awam kepada PPV Integrasi
“Ia supaya suntikan vaksin dapat ditingkatkan ke peringkat maksimum dengan penglibatan petugas kesihatan dan bukan kesihatan pihak kerajaan, sukarelawan dan pihak swasta (PH Corp),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, Kedah akan membuka Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dengan kapasiti 3,000 suntikan sehari dan di Sungai Petani dengan kapasiti 5,000 suntikan sehari.
Tambahnya, PIKAS berikutnya yang menanti kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan MOSTI adalah di Jitra bagi menampung vaksinasi pekerja industri di Alor Setar dan Kubang Pasu.
“PPV Integrasi Langkawi juga sedang beroperasi di tahap maksimum selain vaksinasi secara ‘outreach’ di Bukit Malut dan Pulau Tuba.
“Selain PIKAS, PPV Awam, PPV Mega dan Intergrasi, semua daerah di Kedah mula menggerakkan program vaksinasi secara outreach, iaitu PPV bergerak ke dalam komuniti luar bandar,” ujarnya. – Malaysiapost
