SEORANG lelaki parah dipercayai menikam perutnya sendiri dengan senjata tajam sebelum terbaring berlumuran darah di hadapan sebuah rumah di Kampung Parit Ponorogo, Tangkak, semalam.
Lelaki berusia 48 tahun itu kini dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan awal mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod masalah kesihatan mental dan dipercayai sudah lama tidak makan ubat.
“Lelaki itu ada rekod masalah mental dan difahamkan sudah lima tahun dia tidak makan ubat yang diberi oleh doktor. Dia dengar suara dan sebagainya, kata sakit kepala dan ambil pisau sebelum menikam diri sendiri.
“Sekarang masih mendapatkan rawatan lagi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Terdahulu tular satu video berdurasi 34 saat menunjukkan seorang lelaki terbaring berlumuran darah dengan kesan luka di bahagian perut.
Lelaki terbabit ditenangkan dan diajar mengucap dua kalimah syahadah sebelum pasukan bomba tiba memberi bantuan awal. – Malaysiapost

