Nilam Oshman
INISIATIF walk-in vaksinasi di Lembah Klang hanya untuk penduduk yang bermautastin di kawasan tersebut berlandaskan sasaran dan keperluan bagi melindungi mereka yang kini menjadi pusat penularan wabak Covid-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata tindakan itu diambil selepas mengambil kira pengalaman di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sesak pada minggu lalu.
“Justeru, kita akan membuat pengasingan PPV bagi warganegara dan bukan warganegara bagi memudahkan Kawalan terhadap orang ramai,” katanya dalam sidang media Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) hari ini.
Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) turut memaklumkan, Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang telah berakhir semalam.
Bermula hari ini beliau berkata pihaknya akan menumpukan usaha untuk memastikan golongan tercicir dapat divaksinasi melalui inisiatif menyeluruh serta memberi peluang kepada individu yang tidak berdaftar atau membatalkan janji temu suntikan vaksin Covid-19.
“Jadi, operasi ini akan melalui dua kaedah iaitu pertama walk-in ke PPV di Lembah Klang, kedua melalui program jangka komuniti mengikut jadual bagi golongan di pinggir bandar.
“Inisiatif ini adalah untuk pemberian dos pertama dan tidak melibatkan individu yang ingin mendapatkan dos kedua. Dos kedua akan diberikan mengikut masa bersesuaian pada tarikh suntikan dos pertama masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, operasi ini telahpun berjaya walaupun hanya mencapai 97 peratus namun bakinya akan diusahakan untuk diselesaikan pada minggu pertama Ogos.
“Ini adalah mereka yang telah batalkan janji temu atau tidak hadir. Baki yang belum memperolehi vaksin akan diselesaikan pada minggu ini di beberapa PPV yang dikhususkan sama ada melalui janji temu atau walk-in yang telah kita umumkan sebagai PPV yang akan mengendalikan walk-in bermula pada hari ini,” katanya. – Malaysiapost

