SUASANA laluan ke bangunan Parlimen tenang pagi ini dengan pihak polis kelihatan mengawal jalan utama memasuki ke bangunan berkenaan.
Tinjauan Malaysiapost, sehingga jam 9.20 pagi menyaksikan belum ada kelibat Ahli Parlimen pembangkang kelihatan berada di kawasan terbabit.
Difahamkan, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) berkumpul di suatu tempat agak jauh dari Parlimen kerana terdapat sekatan jalan raya menuju ke bangunan Parlimen.

Terdahulu, Ahli Parlimen PH menegaskan, bahawa mereka akan hadir ke Parlimen hari ini meskipun Sidang Khas Parlimen telah ditangguhkan.
Sabtu lalu, media melaporkan, Sidang Khas Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi surat bertarikh 31 Julai yang diedarkan kepada Ahli Parlimen.
Menerusi surat tersebut, dinyatakan penangguhan tersebut selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Malaysiapost

