30 Ahli Parlimen BN ikrar sokong Muhyiddin malam tadi?

0
1

SERAMAI 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) difahamkan telah menandatangani surat akuan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai Perdana Menteri dalam satu pertemuan sulit di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan malam tadi.

Memetik laporan Sinar Harian, sumber Ahli Parlimen BN berkata, pertemuan sulit itu diadakan bermula jam 9 malam dan dipengerusikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen BN, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Jelas sumber itu lagi, surat akuan mempertahankan kedudukan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa disediakan mereka memandang terdapat usaha pihak tertentu cuba menafikan sokongan 40 ahli Parlimen BN terhadap kerajaan PN sebelum ini.

“Pertemuan itu dimulakan dengan majlis makan malam sebelum 30 ahli Parlimen BN yang hadir bersetuju menandatangani surat akuan mempertahankan Muhyiddin dan kerajaan PN.

“Pertemuan itu juga dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Arau (Shahidan) dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi ruang untuk memberi ucapan alu-aluan.

“Baki 10 ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan sebelum ini, tidak dapat hadir kerana notis pertemuan sulit itu diberitahu kepada mereka pada saat akhir.

“Namun, kesemua mereka dijamin akan menandatangani surat berkenaan melalui wakil yang telah dipertanggungjawabkan,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri berkata, kenyataan dikeluarkan pada 29 Julai lalu yang menyatakan seramai 40 Ahli Parlimen BN sebulat suara menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin adalah sah.

Ismail Sabri berkata, perkara itu dicapai selepas beliau mempengerusikan perjumpaan bersama 40 Ahli Parlimen BN pada hari berkenaan.

“Berita itu sah, memang 40 Ahli Parlimen BN memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

“Cuma persoalan yang dibangkitkan pada hari berkenaan mengapa kami dalam kalangan Ahli Parlimen BN menggunakan kepala surat BN,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here