
SETIAUSAHA Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook, berkata wakil pembangkang tidak pernah bersetuju untuk menangguhkan Parlimen jika ada kes Covid-19 di lokasi berkenaan.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat pada pagi 26 Julai yang lalu pembangkang berpendirian bahawa Mesyuarat Persidangan Parlimen mesti diteruskan dengan mengambil kira langkah prosedur operasi standard (SOP).
“Saya ingin menegaskan bahawa wakil pembangkang tidak pernah bersetuju untuk menangguhkan Parlimen jika ada kes Covid 19 di Parlimen.
“Pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat pada pagi Isnin, 26 Julai yang lalu, saya menghadiri mesyuarat tersebut mewakili DAP manakala YB Saifudin Nasution mewakili Keadilan dan YB Dr Dzul mewakili Amanah.
“Kami bertiga senada bahawa mesyuarat Persidangan Parlimen mesti diteruskan dengan mengambil kira langkah-langkah SOP yang telah dijalankan seperti saringan sebelum sidang untuk semua Ahli Parlimen,” katanya kenyataan di Facebook.
Malah, Anthony berkata, beliau juga turut mencadangkan kesediaan pembangkang untuk membuat ujian saringan Covid-19 setiap minggu sekirannya ada Ahli Parlimen yang didapati positif.
“Saya juga mencadangkan supaya kalau ada kebimbangan, kami sanggup membuat ujian saringan setiap minggu dan sekiranya ada Ahli Parlimen yang didapati positif, maka beliau dikuarantinkan secara terus.
“Saringan ujian yang melibatkan lebih 1,000 orang telah diadakan di Parlimen pada Khamis lalu dan kadar positiviti hanya 1% dan adalah tidak wajar untuk menutup terus Parlimen selama dua minggu
“Saya menganggap kenyataan Tan Sri Noor Hisham bahawa wakil pembangkang bersetuju dengan penangguhan Parlimen adalah kenyataan yang mengelirukan orang ramai,” katanya.
Menurut laporan MalaysiaKini semalam, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan bahawa penularan virus Covid-19 varian berbahaya mungkin berlaku jika Sidang Parlimen Khas diteruskan selepas beberapa individu didapati positif wabak berkenaan.
Dr Noor Hisham menjelaskan, sebelum sidang khas itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mencadangkan agar persidangan ditangguhkan sehingga tahap vaksinasi di Lembah Klang mencecah sekurang-kurangnya 40 peratus.
Malah, Noor Hisham berkata, pilihan kedua adalah persidangan Parlimen diadakan dengan langkah berjaga-jaga, seperti jumlah kehadiran dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan, namun persidangan harus segera ditangguhkan sekiranya kes Covid-19 dikesan.
Katanya, mesyuarat dua pihak yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang pada 26 Julai telah bersetuju dengan pilihan kedua. – Malaysiapost
