Varian Delta dipercayai tular di Parlimen

0
2
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PENULARAN wabak Covid-19 yang dikesan di Parlimen dipercayai membabitkan Varian Yang Membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menerima empat sampel RT PCR kes positif Covid-19 hasil daripada saringan dijalankan di Parlimen untuk analisis jujukan genom penuh.

Katanya, sampel itu telah diterima daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh dan keputusan awal mendapati semua sampel berkenaan menunjukkan mutasi spike protein yang wujud pada varian Delta atau varian Kappa.

“Hasil daripada PCR Genotyping Assay, semua empat sampel menunjukkan mutasi pada spike protein yang dikenalpasti wujud pada varian Delta atau varian Kappa.

“Namun, berdasarkan VOC yang sedang menular dalam komuniti, ianya berkemungkinan besar adalah varian Delta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kajian klinikal di luar negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus 1200 kali lebih tinggi berbanding kes yang dijangkiti dengan varian biasa (non-VOC).

“Penjujukan genom penuh akan dijalankan bagi pengesahan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here