Tutup Parlimen kerana PN takut undian – Najib

0
3
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa, tindakan penutupan Parlimen selama dua minggu seperti dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanyalah kerana kerajaan takut berlaku undian dalam Parlimen.

Ahli Parlimen Pekan itu membandingkan tindakan penutupan pusat beli belah yang dikesan merekodkan kes Covid-19 dan hanya di arah tutup selama tiga hari sahaja.

Menurutnya, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikesan dengan 204 jangkitan juga hanya di arah tutup selama sehari.

“Shopping mall yang ada rekod hotspot Covid-19 tutup tiga hari. PPV dengan 204 jangkitan tutup sehari.

“Parlimen dengan semua dalam dewan telah selesai dua dos vaksin, tapi ada jangkitan 11 dari 1,100 orang (1 peratus) perlu tutup dua minggu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berpendapat, keadaan itu berlaku hanya kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) takut undian diadakan dalam Parlimen.

“Dengan pengumuman bahawa Parlimen perlu tutup dua minggu sebab ada 1 peratus kadar jangkitan (yang semua tidak bergejala pun) pada semua yang sudah selesai dua dos vaksin, maka kerajaan PN telah patahkan semua harapan bagi rakyat Malaysia.

“Sebab kalau kita capai imuniti kelompok dengan paras 80 peratus selesai dua dos vaksin pun, negara tak selamat. Kerana paras 100 peratus selesai dua dos vaksin juga tak dikira selamat dan perlu tutup dua minggu,” katanya.

Beliau berkata, tiada lagi harapan atau jalan keluar bagi seluruh Malaysia kerana walaupun 100 peratus rakyat selesai vaksin pun tidak dikira sebagai selamat.

“Kan bagus jika kerajaan PN tutup seluruh negara untuk dua minggu dengan ‘total lockdown’ sebagaimana Parlimen ditutup penuh dua minggu?,” soalnya.

Terdahulu KKM mencadangkan semua sesi mesyuarat di Parlimen ditangguhkan sementara waktu bagi tempoh dua minggu bermula 29 Julai lalu susulan penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan berlaku di Parlimen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here