PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan syabas kepada penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang mempamerkan aksi mengagumkan pada final acara 3 meter papan anjal di Sukan Olimpik Tokyo 2020, semalam.
Perdana Menteri menerusi Facebook beliau menyifatkan biar pun tanpa pingat, kelibat dan aksi atlet berusia 22 tahun itu nyata menghiburkan bersama semangat yang tidak mudah mengalah.
“Layak ke final dan berada di tempat keempat daripada 12 peserta dalam temasya sukan tersohor, Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga adalah satu kejayaan yang perlu anda banggakan.
“Jangan sedih. Perjalanan anda masih jauh. Masih banyak kejayaan yang boleh dilakar termasuk pada edisi Sukan Olimpik akan datang. Senyumlah Nur Dhabitah!,” katanya.
Pada saingan itu, Nur Dhabitah hanya dibezakan 17.6 mata, iaitu mengumpul 326.15 mata di belakang pemenang pingat gangsa apabila menamatkan saingan di tempat keempat selepas mengharungi lima pusingan. – Malaysiapost

