DBKL serbu peniaga warga asing operasi tanpa kebenaran

0
1

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga warga asing dikesan membuka premis perniagaan tanpa kebenaran di sekitar Kampung Baru dan Kampung Datuk Keramat, semalam.

DBKL dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, seramai 17 anggota Jabatan Penguatkuasaan dan kakitangan Pejabat Cawangan Titiwangsa terlibat dalam operasi berkenaan.

“Lima tindakan diambil di kawasan Kampung Baru iaitu di Jalan Hamzah, Jalan Raja Muda Musa dan Pesiaran Sungai Baru manakala satu tindakan diambil di Jalan Datuk Keramat.

“Empat notis kesalahan dikeluarkan iaitu 3 notis di bawah UUK 20(1)(b) kerana menggajikan warga asing sebagai pekerja dan 1 notis di bawah UUK3 (2) kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Turut diambil lima tindakan sita dan tutup premis di bawah Akta 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan 1 sitaan di bawah UUK3(1) UUKPPG2016,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, DBKL turut memaklumkan siasatan dan semakan mendapati warga asing berkenaan menyewa daripada warga tempatan dengan kadar sewa RM500 hingga RM1,000 sebulan bergantung kepada keluasan tapak.

“Tindakan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Wargakota diminta bekerjasama untuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti ini secara dalam talian di adukl dbkl.gov.my,” katanya. Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here