Keputusan tangguh Dewan Rakyat atas nasihat KKM, bukan isu politik – TPM

0
2
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi lapan adik beradik yang telah kehilangan ibu bapa disebabkan pandemik Covid-19 di Bukit Beruntung hari ini.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat esok dibuat berikutan peningkatan kes Covid-19 dikesan di Parlimen sejak Isnin lalu.

Beliau berkata, ia juga diputuskan atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah selepas penilaian risiko berkaitan wabak berkenaan dibuat.

Ismail Sabri berkata, hingga petang Khamis, lebih 70 kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan dilakukan membabitkan Ahli Parlimen dan pengiring mereka yang juga kontak rapat.

“Jika di tempat lain, apabila jumlah kes positif dikesan melebihi 40, kawasan itu sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Jadi inilah yang orang marah, seolah-olah kami ini ‘kayangan’ ada imuniti dan kekebalan.

“Sepatutnya persidangan tidak boleh dijalankan. Tetapi kebenaran khas diberikan dengan mengurangkan bilangan seramai 80 orang yang boleh berada dalam dewan serta memendekkan perbahasan bagi mengelakkan berlaku penularan.

“Sebenarnya, sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula, kita sudah mengadakan mesyuarat dihadiri Speaker dan wakil pembangkang. Ketika mesyuarat itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sudah memberikan dua cadangan iaitu menangguhkan persidangan dan mengurangkan masa perbahasan serta jumlah kehadiran ahli Parlimen dikurangkan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada Ketua Kampung Charuk Puting, Batu Bor, Guai dan Paya Mengkuang di perkarangan Masjid Al-Mutaqin, Cheruk Puting di Bera, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, cadangan Dr Noor Hisham bagaimanapun tidak diendahkan dan persidangan diteruskan yang akhirnya menyaksikan peningkatan kes dikesan.

“Penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ini berdasarkan fakta sains dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), bukan isu politik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here