PM enterim hanya khabar angin – Ismail Sabri

0
1

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dakwaan namanya disebut-sebut sebagai Perdana Menteri interim bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai khabar angin semata-mata.

“Itu hanya khabar angin lagi pun saya difahamkan dalam Perlembagaan Persekutuan tiada istilah interim, PM interim, kerajaan interim, tidak ada dalam perlembagaan.

“Jadi itu normal, anggap itu hanya khabar angin dan saya pun ketahui ini yang saya baca menerusi portal media dan media sosial,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bakul makanan kepada penduduk di Masjid Kampung Charuk Puting sempena lawatan kerja ke Parlimen Bera.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Ismail Sabri dikatakan mempunyai sokongan kuat, termasuk dalam kalangan ahli kabinet untuk dilantik sebagai Perdana Menteri interim dan rundingan mengenai perkara itu sedang berjalan di peringkat kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas isu interim tersebut itu lagi, beliau tidak menolak kemungkinan ia sengaja untuk melaga-lagakan dan memecahbelahkan kerajaan sedia ada.

“Jadi jangan layan kerana dilayan semakin teruk dan tidak perlu perlu ikut apa yang digembar-gemburkan sebaliknya tindakan paling baik, damaikan dan menyejukkan keadaan bukan melagakan kerana ia bukan masa sesuai untuk berpecah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri turut memaklumkan isi kandungan surat 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sah.

Beliau menegaskan perkara itu berkata, isu yang dibangkitkan hanyalah penggunaan kepala surat.

Pada 29 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan satu perjumpaan bersama 40 orang ahli Parlimen daripada BN.

Beliau berkata, hasil daripada perjumpaan tersebut adalah untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau turut memberitahu bahawa ahli-ahli Parlimen BN sebulat suara menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here