82.9 % dijangkiti Covid-19 hari ini tiada sejarah vaksinasi – Dr Noor Hisham

0
1
Petugas mencucuk vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

MAJORITI besar daripada 17,150 kes yang disahkan positif Covid-19, hari ini iaitu 82.9 peratus tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu juga 4.2 peratus pesakit berada pada kategori ketiga hingga lima dengan 77 peratus tiada sejarah vaksinasi.

Menurutnya, berdasarkan perkembangan itu orang ramai digesa segera mendapatkan vaksinasi agar dapat melindungi diri dan keluarga daripada bahaya jangkitan Covid-19.

“Daripada jumlah 17,150 kes baharu hari ini kategori 5 (kritikal, gunakan ventilator) adalah 96 kes, 0.6 peratus (90.6 peratus tiada sejarah vaksinasi).

“Kategori 4 (perlu bantuan oksigen) adalah 65 kes, 0.4 peratus (72.3 peratus tiada sejarah vaksinasi), manakala kategori 3 (radang paru-paru), 574 kes, 3.3 peratus (75.1 peratus tiada sejarah vaksinasi) dan kategori 2 (gejala ringan), 6,373 kes, 37.2 peratus (70.8 peratus tiada sejarah vaksinasi).

“Kategori 1 (tiada gejala), tertinggi dengan 10,032 kes, 58.5 peratus (92 peratus tiada sejarah vaksinasi),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keadaan klinikal ada antara pesakit yang kekal di kategori sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status sama ada bertambah baik, atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Sementara itu, menurutnya kadar kebolehjangkitan Covid-19 Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian hari ini untuk seluruh negara adalah 1.08.

Pecahan mengikut negeri ialah Perlis mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.53, diikuti Terengganu (1.35), Kelantan (1.25), Kedah (1.22), Pulau Pinang (1.20), Sabah (1.19), Perak (1.19), Putrajaya (1.16), Pahang (1.16), Johor (1.14), Kuala Lumpur (1.12), Melaka (1.10), Sarawak (1.10), Selangor (1.08), Negeri Sembilan (0.93) dan Labuan (0.63). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here