
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan daripada 160 kes kematian Covid-19 direkodkan hari ini, 20 daripadanya adalah kematian di luar hospital atau ‘Brought-In-Dead’ (BID).
Menurut KKM, 133 daripada kes kematian berkenaan adalah membabitkan golongan yang mempunyai komorbiditi (penyakit lain) dan selebihnya 27 kes tiada penyakit lain.
Berdasarkan data dan infografik yang dikongsi KKM, kes kematian mengikut jantina adalah 94 lelaki dan 66 kematian membabitkan wanita.
“Sebanyak 160 kes kematian dilaporkan hari ini dan 20 daripadanya adalah kes BID.
“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya.
Kes kematian tertinggi hari ini direkodkan di Selangor dengan 55 kes, diikuti Kuala Lumpur (25 kes), Johor dan Negeri Sembilan masing-masing 14 kes serta Melaka dan Kedah dengan masing-masing merekodkan 10 kes kematian.
Pahang merekodkan lapan kematian, manakala Sabah pula tujuh kes, diikuti Pulau Pinang enam kes, Perak dan Kelantan masing-masing empat kes dan Terengganu tiga kes.
Jumlah keseluruhan kes kematian sejak Covid-19 melanda negara kini adalah sebanyak 9,184 kes. – Malaysiapost
