KKM cadang tutup Parlimen 2 minggu – Dr Noor Hisham

0
1
Parlimen Malaysia

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat di Parlimen ditangguhkan sementara waktu bagi tempoh dua minggu bermula 29 Julai lalu susulan penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan berlaku di Parlimen.

Menurutnya, cadangan penangguhan itu adalah membabitkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen.

“Penilaian risiko kejadian jangkitan Covid-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa.

“Semua individu yang berada di Parlimen pada 26 hingga 29 Julai lalu dinasihatkan untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya mengalami gejala, sila jalani pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, walaupun jumlah kes positif Covid-19 yang dikesan semasa Sidang Mesyuarat Khas Dewan Negara itu adalah 0.8 peratus, namun hasil penilaian risiko dengan mengambil kira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati persidangan Parlimen merupakan satu perhimpunan berisiko tinggi.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, sebelum persidangan berkenaan dijalankan KKM telah menjalankan sebanyak 2,093 ujian saringan terhadap individu yang akan hadir ke Parlimen.

“Daripada jumlah itu sebanyak 56 kes dikesan positif dan di arah menjalani pengasingan dan siasatan serta pengesanan kontak rapat mendapati empat lagi kes positif dikesan.

“Ujian saringan kemudian dijalankan terhadap 1,183 individu di dalam Parlimen selepas dua individu disahkan positif telah hadir ke sidang berkenaan.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 11 kes dengan lima daripadanya adalah bergejala,” katanya.

Beliau berkata, pada 30 Julai lalu saringan bagi pra persidangan Dewan Negara ke atas 100 individu juga dilakukan dan mendapati sembilan kes positif Covid-19 dengan pemakluman kes kepada KKM dibuat hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here