BERITA Presiden PKR akan menghadap Yang di Pertuan Agong hari ini adalah tidak benar, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
Fahmi yang menafikan perkara itu menjelaskan beberapa portal berita telah memetik sumber yang tidak dinamakan mendakwa bahawa Anwar akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.
“Ini adalah berita tidak benar. Saya pohon kerjasama rakan-rakan media untuk mendapatkan maklumat yang sahih dari sumber yang tepat sebelum menyiarkan berita untuk mengelak sebarang kekeliruan atau salah faham,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu memetik laporan Malaysiakini, sumber Istana Negara menafikan dakwaan bahawa Ketua Pembangkang itu diberi perkenan untuk mengadap Seri Paduka Baginda hari ini.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan beberapa sumber PKR bahawa pihak istana telah memberikan perkenan kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk mengadap pada jam 2.30 petang hari ini.
Sumber PKR turut mendakwa pertemuan itu dijangka berlangsung di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang. – Malaysiapost

