Polis sedang kenal pasti penganjur, peserta ‘Himpunan Baju Hitam’

0
2
Sebahagian peserta berarak di Jalan Masjid Jamek ketika menyertai perhimpunan Keluar dan Lawan di Kuala Lumpur.

POLIS sedang mengenal pasti penganjur dan peserta yang menyertai satu Himpunan Baju Hitam di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini, untuk diambil keterangan dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan awal mendapati perhimpunan itu disertai kira-kira 400 individu dengan sebahagian besarnya terdiri golongan muda.

Beliau berkata, peserta yang berkumpul di sekitar ibu negara dan berarak ke Dataran Merdeka itu sudah bersurai dengan aman mengikut arahan polis bagi mengelak insiden tidak diingini.

“Tiada tangkapan ke atas peserta dilakukan setakat ini. Dalam tempoh fasa perintah kawalan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak dibenarkan himpunan di mana-mana walaupun untuk tujuan sosial, sukan atau keagamaan mengikut Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Walaupun perhimpunan aman, ia jelas melanggar peraturan terbabit dan sebab itu kita akan ambil tindakan susulan. Kalau hantar notis untuk berhimpun pun tiada guna sebab ia memang tidak dibenarkan, kita juga siasat himpunan ini mengikut Akta 342.

“Semua peserta memakai pelitup muka hasil pemantauan kira-kira 300 anggota polis di kawasan himpunan. Dari segi penjarakan fizikal, agak sukar untuk mereka amalkannya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Mohamad Zainal turut memberi amaran kepada orang awam supaya tidak sesekali terbabit himpunan dalam tempoh fasa perintah kawalan di bawah PPN bagi mengelak berlaku penularan jangkitan Covid-19.

“Virus Covid-19 tidak kenal siapa atau himpunan. Kita minta orang awam ambil tindakan berhemah dengan tidak berhimpun,” katanya.

Terdahulu, sekumpulan individu memakai baju hitam dilihat berkumpul berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, sejak jam 10 pagi tadi dipercayai bagi menyertai perhimpunan terbabit.

Mereka juga membawa bendera hitam, sepanduk menzahirkan protes dan replika jenazah.

Polis membuat kawalan keselamatan di sekitar kawasan berkenaan, selain menutup beberapa laluan menuju ke Dataran Merdeka, sejak pagi tadi.

Semalam, media melaporkan satu poster mengajak orang ramai turun ke jalanan bagi menunjukkan soladiriti terhadap rakyat tular di media sosial. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here