Wujud gerakan untuk jatuhkan kerajaan PN dengan segala cara – Hadi

0
1

ADA pihak daripada kerajaan Islam sekular melakukan segala usaha menghalang kebangkitan semula kepada Islam yang sedang diperjuangkan di seluruh negara umat Islam termasuklah di Malaysia, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata kesedaran itu telah tercetus di Malaysia apabila dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, ditubuhkan kerajaan sekular yang didominasi oleh kalangan bukan Islam dan seluruh kumpulannya.

“Sehingga kumpulan Islam yang terpengaruh dengannya tidak lebih daripada sekadar menjadi khadam setelah menjadi pejuang.

“Mereka ikut serta bersuara melindungi perancangan kerajaannya yang secara halus melumpuhkan Islam dan umatnya, supaya terus berada dalam kelekaan atau menjadi syaitan bisu,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS hari ini.

Walaupun begitu, Abdul Hadi bersyukur kepada Allah SWT kerana parti-parti umat Islam dan Bumiputera (Umno, PAS dan Bersatu) di samping parti-parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem berjaya disatukan.

Katanya, ia kemudian berjaya menubuhkan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) kerana menyedari pendekatan ekstrem tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat.

“Bahkan ternyata kelemahan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah dalam masa singkat bersama kemenangan yang rapuh dan penuh dengan penipuan.

“Justeru, penguasaan kerajaan PN yang menunjukkan perubahan positif akan dicabar, kerana dominasi umat Islam dan kalangan yang tidak ekstrem itu dibimbangi dapat menyelesaikan banyak masalah yang akan membina semula kekuatan umat.

“Maka, sudah pasti wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara. Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya para pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir-anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata umat Islam hendaklah bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya rancangan yang sedang berlangsung di beberapa negara, gagal dibawa masuk ke negara ini, apatah lagi adanya ejen-ejen yang bersedia melakukannya dan tidak seharusnya masih dibiarkan berkeliaran.

“Kalau dahulu ditipu oleh penjajah British, janganlah pula hari ini berulang ditipu sehingga berkali-kali,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here