Hampir 20 juta dos pemberian vaksin Covid-19 di Malaysia

0
1
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat PPV pandu lalu di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol hari ini. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

JUMLAH kumulatif pemberian vaksin Covid-19 di Malaysia menghampiri 20 juta dos iaitu 19,502,452 dos setakat ini dengan 556,404 dos diberikan semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata jumlah keseluruhan yang menerima dos pertama ialah 13,184,742 orang dan 6,317,710 telah terima dos kedua.

“Sebanyak 556,404 dos diberikan semalam iaitu 343,530 dos pertama dan 212,874 dos kedua,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

Berdasarkan infografik dikongsikannya, Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan pemberian vaksin tertinggi setakat ini iaitu 5,412,011 penerima dos pertama dan 2,010,823 penerima dos kedua.

Data itu menunjukkan Lembah Klang kini mempunyai 64.3 peratus penduduk daripada jumlah populasinya yang sudah menerima dos pertama vaksin dan 23.9 peratus menerima dua dos vaksin.

Secara keseluruhan, Malaysia kini merekodkan sebanyak 40.4 peratus daripada jumlah populasi sudah menerima dos pertama, manakala 19.3 peratus sudah menerima dua dos vaksin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here