Kerajaan tidak boleh lurus bendul – Najib

0
1

KERAJAAN dilihat terlalu taksub dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan terlalu bergantung penuh kepada program vaksinasi bagi menangani pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpendapat, kebanyakan langkah diambil kerajaan bagi menangani Covid-19 gagal membendung peningkatan wabak berkenaan.

Berkongsi ucapan yang sepatutnya disampaikan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, semalam, Ahli Parlimen Pekan itu berpendapat ia seumpama tangan kanan patah tetapi dibalutnya seluruh badan.

“Ya, vaksin itu penting tapi kita perlu juga melihat keadaan semasa dan perlu ada pelan B sekiranya vaksin lambat berkesan seperti berlaku pada negara-negara lain seperti Chile di mana keadaan Covid masih tinggi biarpun negara tersebut telah lama mencapai kadar 50 peratus penduduknya divaksin penuh.

“Kerajaan tidak boleh lurus bendul sangat, ikut pelan sahaja, ikut buku sahaja tanpa melihat keadaan semasa,” katanya dalam teks ucapan yang dikongsi di Facebooknya malam tadi.

Beliau dijadual berucap pada sesi pagi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, semalam namun ditangguhkan ke sesi petang susulan titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

Bagaimanapun sidang pada sesi petang turut ditangguhkan ke 2 Ogos ini selepas beberapa individu yang menghadiri mesyuarat dikesan positif Covid-19 sejak 26 Julai hingga semalam.

Menurut Najib lagi, Ketua Pengarah Kesihatan membayangkan angka Covid-19 akan meningkat kepada 24,000 kes sehari dalam September dan pada Oktober berikutnya akan menurun ke paras 1,000 kes.

“Pada pendapat saya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan sayang kepada rakyat, tidak boleh membiarkan sahaja kes aktif meningkat tanpa batas dan kes baharu naik ke 24,000 kes sehari tanpa membuat sesuatu.

“Pada masa sama, rakyat sudah tidak mempunyai duit setelah dikurung berbulan-bulan lamanya. Dan kita tidak boleh mengetatkan lockdown tanpa memberi duit kepada rakyat untuk menghadapinya.

“Justeru, pada pendapat saya, ada perlunya kerajaan melaksanakan lockdown paling ketat sekali di peringkat negeri yang mempunyai kes yang masih tinggi bagi tempoh sangat singkat iaitu tujuh hari, 10 hari, mahupun 14 hari sementara menunggu keberkesanan vaksinasi,” katanya.

Menurutnya, tempoh lockdown berkenaan, jika tidak boleh memutuskan sepenuhnya rantaian Covid-19, sekurang-kurangnya ia mampu mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan dan mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.

Beliau turut mencadangkan skim i-Survive iaitu skim pinjaman mudah dengan caj perkhidmatan sebenar paling rendah sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 setiap pemohon.

“Dalam tempoh sama, kerajaan juga perlu memenuhi 10 Tuntutan Rakyat yang sudah diserahkan oleh Pemuda Umno kepada Menteri Kewangan.

“Saya harap kerajaan akan melaksanakan cadangan saya secepat mungkin dengan memberi dana kepada rakyat sambil mengurangkan keadaan Covid-19 mencapai 24,000 kes sehari dan mengelak lebih nyawa terkorban,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here