PELARI pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias mara ke pusingan pertama acara 100 meter selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam aksi kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, hari ini.
Azreen, 21, turut memperbaharui rekod peribadi terbaiknya apabila mencatatkan 11.77 saat (s) dalam saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.
Catatan peribadi terbaiknya sebelum ini adalah 11.81s yang dilakukannya ketika Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.
Pelari berasal dari Terengganu itu, bersyukur mara ke pusingan seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada 11.55 pagi ini.
“Saya sangat bersyukur dan Alhamdulillah dapat buat catatan peribadi terbaik ini,” katanya dalam rakaman video yang dikongsi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Reezal Merican turut bangga dengan prestasi yang ditunjukkan bintang olahraga negara itu.
“Azreen seakan-akan ‘terbang’ dan paling penting pecah catatan terbaik peribadinya. Ini membuktikan kesungguhannya.
“Azreen janji pada saya dia datang sini untuk buktikan bahawa pemilihannya adalah tepat dan hadir di sini (Olimpik Tokyo) atas ‘wild card’,” katanya yang turut berada di Stadium Olimpik Tokyo.
Beliau mewakili rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih kepada atlet muda berkenaan atas aksi hebat yang dipersembahkan hari ini.
“Azreen akan beraksi di Heat-6 pada jam 11.55 pagi waktu Malaysia sebentar lagi. Doa saya dan seluruh rakyat Malaysia buat Azreen Nabila Alias” katanya. – Malaysiapost

