ATLET lompat tinggi negara, Lee Hup Wei mengakhiri saingan Sukan Olimpik 2020 selepas gagal dalam pusingan kelayakan di Stadium Olimpik Tokyo, hari ini.
Pemenang empat kali pingat emas Sukan SEA itu gagal melepasi ketinggian pertama yang ditetapkan iaitu 2.17 meter (m) dalam ketiga-tiga percubaannya.
Hup Wei, 34, mempunyai catatan peribadi terbaik 2.29m dan berpengalaman di pentas Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.
Walaupun gagal meneruskan cabaran, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan tahniah kepada atlet negara berkenaan.
“Hup Wei telah berusaha dengan sedaya upaya mengatasi pelbagai cabaran untuk memberikan aksi yang terbaik kepada rakyat Malaysia di temasya sukan terbesar dunia ini.
“Terima kasih Hup Wei atas segala pengorbanan dan dedikasi Hup Wei kepada Kontinjen Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

