TINDAKAN kerajaan dalam pembatalan Ordinan Darurat adalah tidak berparlimen, tidak berpelembagaan dan telah meletakkan kedudukan mulia institusi raja pada kedudukan yang tidak sewajarnya.
Sehubungan itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mereka yang berkaitan mesti mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan segera.
“Institusi Parlimen telah tercemar dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini. Peristiwa ini adalah titik hitam sejarah demokrasi berparlimen Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata kenyataan Istana Negara hari ini telah menjelaskan perkara sebenarnya.
Katanya, pembatalan Ordinan Darurat telah dilakukan dengan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong, begitu juga pengumuman pembatalan tersebut dibuat tanpa perkenan Seri Paduka Baginda.
“Tindakan Kerajaan, khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara telah mengundang murka Seri Paduka Baginda.
“Mereka telah tidak melaksanakan titah baginda agar cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen,” katanya lagi. – Malaysiapost

