KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mencadangkan agar jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan.
Perkara itu dicadangkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semasa Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak Covid-19 pada 26 Julai lalu.
Dr Noor Hisham berkata ia bagi memastikan Sidang Khas Parlimen terus berjalan lancar dan semua individu dikehendaki untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan-peraturan sedia ada.
Katanya, KKM akan terus memantau situasi di Parlimen yang mana pasukan dari Jabatan Kesihatan bersama Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah ditempatkan di Bangunan Parlimen untuk menyelaras saringan demam dan gejala.
“Sehingga 28 Julai seramai 104 individu telah menjalani ujian saringan kendiri “RTK-Ag Self Test Kit” menggunakan sampel saliva dan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.
“Sekiranya terdapat kes positif dalam kalangan individu yang hadir Parlimen, siasatan akan dijalankan termasuk pengesanan kontak dan punca jangkitan.
“Selain itu, penilaian risiko akan dijalankan untuk mengetahui sama ada terdapat penularan jangkitan dalam kalangan mereka yang hadir ke Parlimen dan keperluan penutupan sementara untuk menjalankan langkah-langkah pencegahan dan kawalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata berdasarkan penilaian risiko dijalankan, buat masa ini tiada penularan jangkitan Covid- dikesan di Parlimen namun pemantauan dan penilaian risiko diteruskan sehingga Sidang Mesyuarat tamat.
Katanya, sehingga 28 Julai lalu, 56 kes positif telah dikesan melibatkan dua Ahli Parlimen, enam pegawai pengiring dan 48 pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.
“Ini menjadikan kadar positif adalah 2.7 peratus. Dari 56 kes yang positif ini, 39 (69.6 peratus) terdiri mereka yang belum menerima dos vaksin lengkap atau belum menerima vaksin.
“Hasil siasatan dan penilaian risiko dijalankan yang dijalankan setakat semalam, kes-kes positif ini tidak mempunyai kaitan epidemiologi antara satu sama lain,” katanya. – Malaysiapost

