TERDAPAT enam petanda menunjukkan bahawa krisis perlembagaan bakal berlaku di Malaysia dalam masa terdekat, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.
Menurutnya, ia akan menjadi masalah berganda buat rakyat selain daripada kesilapan dalam mengendalikan isu Covid-19 yang meletakkan kedudukan Malaysia sebaris negara menunjukkan prestasi terburuk dalam pengendalian wabak berkenaan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata antara petanda yang dinyatakan itu adalah:
- Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa bahawa pembatalan enam Ordinan Darurat berkenaan masih dalam proses.
- Tiadanya pewartaan Perkenan Diraja dan pembatalan enam Ordinan Darurat sejak seminggu yang lalu;
- Kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sendiri untuk menyatakan bahawa Perkenan Diraja telah diberikan untuk pembatalan enam Ordinan Darurat tersebut, meskipun perkara itu dibangkitkan setiap hari di Parlimen sejak tiga hari lalu;
- Surat oleh Speaker kepada Ahli Parlimen Bruas, Datuk Ng Koo Ham, yang menolak usul untuk membatalkan Ordinan Darurat dengan alasan teknikal, dan bukannya dengan alasan bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan; dan
- Kegagalan untuk memaklumkan kepada Ahli Parlimen mengenai pembatalan tersebut semasa enam Ordinan Darurat berkenaan dibentangkan di Dewan yang mulia.
Katanya, ia adalah sebuah tragedi buat negara kerana isu itu telah mengalihkan perhatian sidang khas Parlimen kerana pembatalan enam Ordinan Darurat menjadi topik hangat yang dibangkitkan sejak tiga hari lalu.
Terdahulu hari ini, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sepanjang tempoh Darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenan baginda.
Al-Sultan Abdullah Rrayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dipersetujui terdahulu dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri idrus Harun pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan. – Malaysiapost

