Negara rugi RM1.1 bilion sehari semasa PKP 3.0 – Tengku Zafrul

0
1
Menara PNB dalam pembinaan di Jalan Tun HSS Lee, Kuala Lumpur

MALAYSIA mengalami kerugian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira RM1.1 bilion sehari, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini berbanding RM2.4 bilion sehari pada PKP 1.0 Mac tahun lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata berikutan langkah penutupan ekonomi, KDNK negara juga telah menguncup sebanyak 5.6 peratus tahun lalu.

“KDNK pada 2021 dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih rendah berbanding anggaran awal sebelum ini, iaitu antara 6 hingga 7.5 peratus.

“Anggaran rasmi akan diumumkan pada Ogos bersama laporan suku kedua KDNK nanti, di mana kesan PKP dan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke atas ekonomi pada separuh pertama tahun ini akan dapat dilihat sepenuhnya,” katanya ketika penerangan Pakej Bantuan Ekonomi pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, krisis Covid-19 yang melanda turut memberi kesan kepada pasaran buruh negara, namun kadar pengangguran telah menyederhana kepada 4.5 peratus pada Mei tahun ini berbanding 5.3 peratus setahun yang lepas, iaitu kadar tertinggi sejak 1990.

Menurutnya, dari segi kedudukan kewangan, Bajet 2021 telah dibentangkan dengan unjuran defisit fiskal sebanyak 5.4 peratus kepada KDNK.

“Setelah mengambil kira gelombang Covid-19 pada awal tahun ini serta pelaksanaan PPN Fasa 1 sejak awal Jun, Kerajaan telah melaksanakan pakej bantuan tambahan yang dijangka meningkatkan defisit fiskal antara 6.5 hingga 7.0 peratus kepada KDNK tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan ketelusan perbelanjaan sepanjang krisis pandemik ini, Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) telah ditubuhkan di bawah Akta 830, dan diluluskan oleh Parlimen pada tahun lalu.

“Peruntukan KWC-19 yang dibiayai oleh pinjaman kerajaan telah digunakan untuk perbelanjaan pakej-pakej bantuan, serta perbelanjaan tambahan bagi menambah baik sektor kesihatan awam dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Setakat 30 Jun 2021, sejumlah RM55 bilion telah dibelanjakan, di mana RM38 bilion dibelanjakan tahun lalu,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, sehingga akhir Jun lalu, paras hutang statutori telahpun mencecah 56.8 peratus, namun ia masih di bawah had statutori 60 peratus KDNK yang dibenarkan.

“Dengan ruang fiskal yang terhad, Kerajaan tiada pilihan selain mengoptimumkan sumber pembiayaan sedia ada melalui rasionalisasi perbelanjaan, peningkatan hasil daripada ekosistem Kerajaan termasuk penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) serta bersedia meningkatkan had siling KWC-19.

“Dalam masa sama, kerajaan bersedia melonggarkan peraturan had hutang untuk menyokong pelan pemulihan ekonomi berdasarkan kemampuan keberhutangan negara. Oleh itu, Kerajaan akan mengusulkan di dalam Dewan yang mulia ini cadangan pindaan tersebut pada penggal akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here