Ahli Parlimen Umno perlu zahir, laksana keputusan MKT – Zahid

0
1

AHLI-Ahli Parlimen Umno mesti menzahir dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan Umno untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad zahid berkata Umno amat kesal dengan tindakan Kerajaan pimpinan Muhyiddin yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan di Parlimen seiring Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutan.

Lebih mendukacitakan katanya, apabila Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan.

“Ini kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, Umno akan meminta Muhyiddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here