KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meminta Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyiasat isu seorang influencer yang didakwa meninggikan suara kepada seorang warga emas di Pusat Transit Gelandangan (PTG) Kuala Lumpur kelmarin.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum menerima penerangan terperinci berhubung isu terbabit.
“Saya akan minta pihak YKN siasat perkara ini. Pusat transit gelandangan ini di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.
“Tidak adil bagi pihak saya untuk keluarkan kenyataan sekiranya saya tidak mengetahui perkara itu lebih terperinci. Saya akan semak juga dengan kementerian yang berkaitan,” katanya kepada media, hari ini.
Semalam, tular video seorang influencer yang dikatakan pengasas butik Bella Ammara mempersoalkan warga emas berusia 64 tahun itu adakah dia menyesal kerana tidak berusaha dan malas sewaktu muda sehingga menjadi gelandangan.
Video tersebut menerima kecaman hebat setelah netizen mendakwa lelaki bernama Carl Shamsudin itu tidak menjaga sensitiviti dan memperlekehkan warga emas tersebut.
Difahamkan, individu terbabit bersama beberapa rakan ke pusat transit gelandangan itu untuk menyampaikan bantuan sebelum mengambil kesempatan menyampaikan ceramah motivasi kepada gelandangan. – Malaysiapost

