Menteri Umno perlu minta maaf secara terbuka, tarik sokongan serta-merta – Nur Jazlan

0
1

TIMBALAN Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa menteri-menteri Umno yang masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera memohon maaf secara terbuka kepada anggota parti serta rakyat.

Jelasnya, permohonan maaf ini perlu dilakukan susulan ‘terkantoi’ penipuan Kerajaan PN dalam Dewan Rakyat dan menderhaka terhadap titah Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dalam isu pembatalan Ordinan Darurat, Isnin lalu.

“Menteri-menteri Umno termasuk juga ahli-ahli Parlimen BN yang menyokong kerajaan PN dikira bersubahat menipu rakyat dan menderhaka kepada YDPA apabila mereka tidak menafikan atau berdiam diri sahaja apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kerajaan sudah membatalkan darurat pada 21 Julai lalu.

“Mereka ini sudah mengangkat sumpah memegang amanah dan menjunjung Perlembagaan ketika dilantik menjadi menteri serta ahli Parlimen, tapi mereka sanggup mengkhianatinya demi kuasa.

“Oleh itu mereka perlu minta maaf secara terbuka kepada ahli-ahli Umno dan rakyat serta insaf dengan keterlanjuran itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Ketua Umno Bahagian Pulai itu mendesak menteri dan Ahli Parlimen Umno menarik balik serta-merta sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti mana diputuskan Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum ini.

Katanya, sudah jelas kepimpinan Muhyiddin mencurangi amanah diberikan rakyat dan mempermain-mainkan Perlembagaan serta kemuliaan Dewan Rakyat akibat ketamakan kuasa.

“Menteri Umno perlu ikut keputusan MKT Umno dan tarik segera sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan PN.

“Mereka sepatutnya malu dan tebal muka kerana terus memberikan sokongan kepada sebuah kerajaan yang tidak telus dan tak amanah.

“Tidak pernah dalam sejarah Umno menderhaka kepada raja-raja Melayu terutamanya YDPA dan menyeleweng Perlembagaan serta Parlimen untuk kekalkan kuasa,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang dilakukan oleh menteri-menteri Umno itu turut memberikan implikasi negatif kepada parti itu sendiri.

Katanya, biarpun secara majoriti MKT Umno sudah menarik sokongan kepada Perdana Menteri, namun disebabkan kedegilan Menteri-menteri dan segelintir ahli Parlimen Umno yang mahu terus menyokong Kerajaan PN telah mencemarkan nama baik parti.

“Sudah-sudahlah nak jadi degil dan nak ikut nafsu sendiri. Kembalilah ke pangkuan perjuangan asal dan bersama semula dengan kepimpinan Umno.

“Tinggalkan Muhyiddin, PAS dan Kerajaan PN yang sudah terbukti gagal, menyeleweng kuasa dan menderhaka kepada institusi raja,” katanya.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen, sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Istana Negara dalam kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai lepas tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here