Tak dapat pingat, tapi dapat jodoh

0
2

MESKIPUN kecewa gagal mara ke peringkat seterusnya, atlet lawan pedang Argentina, Maria Belen Perez Maurice menerima berita gembira yang mengejutkannya.

Dia telah dilamar jurulatihnya selepas mengalami kekalahan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi acara tersebut semalam.

Menerusi ciapan di Twitter TYC Sport, Perez Maurice dilamar jurulatih yang juga teman lelakinya, Lucas Guillermo Saucedo setelah 17 tahun bersama secara langsung, sejurus tewas di peringkat 32 kepada Anna Marton dari Hungary.

Atlet berusia 36 tahun itu sedang ditemuramah sebuah stesen televisyen Argentina sambil Saucedo tiba-tiba muncul di belakang atlet itu dengan memegang nota ‘Sudikah anda berkahwin dengan saya?’.

Perez Maurice kemudian menoleh ke belakang setelah diminta wartawan itu dan terkejut lalu mengucapkan setuju kepada Saucedo.

“Mereka (wartawan) menyuruh saya menoleh ke belakang, dan dia memegang nota itu. Saya terkejut dan lupa semuanya.

“Kami sangat gembira. Kami merupakan pasangan serasi. Sudah pasti kami bertengkar tetapi saling memerlukan dan menyayangi antara satu sama lain.

“Kami juga ingin menghabiskan hidup kami bersama dan akan meraikannya di Buenos Aires,” katanya.

Perez Maurice menambah, mereka pernah mengadakan perbincangan untuk berkahwin sebelum ini tetapi tidak menyangka akan menerima lamaran seperti itu.

Sementara itu, pasangannya, Saucedo menyatakan dia sudah terfikir berkenaan cadangan itu malam sebelum dia melamar.

Jelasnya, dia terdetik untuk melamar Perez Maurice sebagai motivasi susulan tewas perlawanan itu dengan berbekalkan helaian kertas yang dicetak dari seorang sukarelawan, walaupun tanpa cincin dia terus melakukannya.

“Saya amat mencintainya dan ketika kalah dalam pertandingan, dia sangat sedih. Jadi, mungkin cara ini boleh menaikkan kembali semangatnya,” ujarnya.

Pasangan kekasih itu bertemu dalam sukan lawan pedang dan Saucedo pernah mewakili Argentina sebelum menjadi jurulatih.

Saucedo pertama kali melamar Perez Maurice pada tahun 2010 tetapi atlet itu menolaknya kerana menganggap dia terlalu muda untuk menerimanya pada masa itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here