PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah Su Ya gagal melangkah ke pusingan kalah mati Sukan Olimpik Tokyo 2020 meskipun telah mengerahkan kudratnya habis-habisan.
Soniia terpaksa akur tewas rubber set kepada pilihan kelima kejohanan, Ratchanok Intanon dari Thailand dengan keputusan 21-19, 18-21, 10-21 dalam aksi terakhir Kumpulan N di Musashino Forest Sports Plaza sebentar tadi.
Pujian harus diberikan kepada pemain ranking ke-32 dunia itu kerana mempamer semangat juang tinggi dengan berkali-kali bangkit mengejar mata walaupun pada satu ketika terpaksa menerima sedikit rawatan di luar gelanggang.
Ratchanok yang juga bekas juara dunia, dijadual bertemu pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung di pusingan kalah mati dan jika menang akan menentang pilihan kedua kejohanan, Tai Tzu-ying dari Taiwan pada suku akhir.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara iaitu jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia akan mengharungi aksi terakhir Kumpulan M menentang pemain Perancis, Brice Leverdez pada jam 7.40 malam ini. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Majlis Sukan Negara Malaysia

