Ibu Yati, dua individu mengaku tidak bersalah

0
1
Wan Noor Hayati Wan Alias | A journalist has claimed trial at the Kuala Lumpur Magistrate's court to three charges of making statements which could disrupt public peace in relation to the novel coronavirus . Starpic by Kamarul Ariffin/5.2.2020

TIGA individu termasuk bekas wartawan, Wan Norhayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai ‘Ibu Yati’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor hari ini.

Mereka didakwa atas pertuduhan menjelaskan doktrin palsu berkaitan agama Islam termasuk melalui Facebook, antara Disember tahun lalu hingga Februari tahun ini, lapor Astro Awani yang memetik Bernama.

Wan Norhayati, 42, Noorafiza Ahmad, 46, dan Abdul Hamid Yeop Zainnuddin, 60, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Wan Norhayati dan Noorafiza masing-masing berdepan tiga dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 iaitu menjelaskan doktrin yang bertentangan dengan hukum syarak.

Abdul Hamid pula menghadapi dua pertuduhan di bawah seksyen sama serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 kerana mempersendakan ayat al-Quran.

Di bawah Seksyen 7 Enakmen tersebut, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda RM5,000 atau enam sebatan atau kombinasi kesemua hukuman itu.

Di bawah Seksyen 9 Enakmen sama, sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Wan Norhayati dan Noorafiza dituduh melakukan kesemua kesalahan itu pada 2 Disember hingga 2 Februari lalu menggunakan akaun Facebook masing-masing, sementara Abdul Hamid kira-kira jam 9 malam pada 2 Februari di Taman Dato Razali, Kampung Melayu Ampang.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassim dan kesemua tertuduh diwakili Peguam Wan Amir Akram Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM11,000 kepada Wan Norhayati, RM5,000 kepada Noorafiza dan RM9,000 kepada Abdul Hamid dengan masing-masing dua penjamin dan kesemua mereka perlu melapor diri di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat serta dilarang memuat naik apa-apa status dalam media sosial.

Kes bagi Wan Norhayati dan Noorafiza akan disebut semula pada 2 November ini manakala Abdul Hamid pada 18 Januari 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here