PENERJUN negara Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong yang menjadi antara sandaran utama merangkul pingat emas pertama negara di sukan Olimpik, gagal dalam acara terjun platform 10 meter seirama wanita di temasya Sukan Olimpik 2020, hari ini.
Gandingan negara itu hanya menduduki tempat kelapan, sekaligus turut gagal mengekalkan pingat perak yang diperoleh mereka pada Olimpik Rio 2016, di Brazil.
Kedua-duanya mengumpul 277.98 selepas lima terjunan dan pingat emas acara itu dimenangi gandingan penerjun China, Chen Yuxi dan Zhang Jiaqi yang mengumpul 363.78.
Sementara itu Pandelela dan Mun Yee ketika ditemubual selepas acara berkenaan mengakui ada sedikit tekanan terhadap mereka susulan menjadi harapan negara untuk membawa pulang pingat, terutama emas pertama.
“Kami sudah buat yang terbaik, mungkin tiada tuah hari ini, tetapi kami tetap akan berusaha untuk acara yang seterusnya
“Saya cuba buat yang terbaik, ikut seperti latihan tapi itulah masa pertandingan tidak menjadi.
“Memang kecewa, tetapi nak buat macam mana hari ini bukan hari kami. Kita akan teruskan untuk melakukan yang lebih baik lagi dalam acara seterusnya,” kata Pandelela.
Mun Yee juga kecewa dengan kekalahan itu tetapi berpuas hati kerana sudah mencuba dan memberikan yang sebaik mungkin
“Memang ada tekanan tetapi kita sudah bersedia kami dan masa panas badan tadi agak baik malangnya kurang menjadi masa game sebenar,” katanya.
Perjuangan pasukan penerjun negara bagaimanapun belum berakhir dengan Pandelela dan Cheong Jun Hoong akan turun beraksi dalam acara 10 meter Platform Individu Wanita.
Manakala, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee bakal beraksi dalam acara 3 meter Papan Anjal Individu Wanita. – Malaysiapost

