Kerajaan mesti perjelaskan pemansuhan Ordinan Darurat – Najib

0
2

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) diminta memberi penjelasan isu pemansuhan Ordinan Darurat secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan terhadap ahli Parlimen dan rakyat seluruhnya.

Menurut Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, terdapat tiga persoalan yang perlu dirungkai selepas kerajaan memaklumkan Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

“Adakah proses undang-undang telah diamalkan dalam erti kata apa-apa pembatalan Ordinan Darurat mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan digazetkan. Ini tidak dijelaskan.

“Kedua, pembatalan Ordinan Darurat ini boleh dibuat secara ‘backdated’ atau diterkebelakangkan, sama ada ini boleh dilakukan sebab implikasinya terhadap apa-apa tindakan yang diambil pihak berkuasa selepas 21 Julai itu boleh dipersoalkaan atau terbatal dari segi Undang-undang.

“Yang ketiga, enam ordinan termasuk ordinan pertama iaitu Induk Darurat 2021 boleh timbulkan soal kesahihan dari segi kesahihan Undang-undang dan keabsahan kerajaan dari 21 Julai sehingga 1 Ogos,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan amat mengelirukan, seterusnya perlu membuat penjelasan secara terperinci secepat mungkin.

Dalam masa yang sama, Najib berkata, mengikut proses yang betul, kerajaan perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi proses memperkenan dan perwartaan.

“Barulah ia lengkap dari segi proses undang-undang. Dan ini pernah kita lakukan zaman saya dulu pun, undang-undang darurat yang kita batalkan mengikut proses ini.

“Perlu dibentangkan di kedua-dua dewan,” katanya.

Semalam, Takiyuddin berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

“Saya mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru apabila ia tamat pada 1 Ogos 2021.

“Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here