Polis siasat kumpulan individu berdansa, langgar SOP

0
2

POLIS menjalankan siasatan berhubung video tular yang menunjukkan sekumpulan individu dikatakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Ramadan, April lalu di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata pihaknya menerima laporan berhubung video berkenaan hari ini yang membabitkan pelanggaran SOP oleh kumpulan individu yang menghadiri kursus sebuah parti politik.

“Dalam laporan polis itu, pengadu mendakwa kumpulan tersebut dilihat sedang menari tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal antara satu sama lain.

“Perkara itu merupakan satu pelanggaran SOP seperti yang sudah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikompaun sebanyak RM2,000, manakala RM10,000 ke atas penganjur.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi seminit 34 saat di Facebook menunjukkan kumpulan individu membabitkan beberapa wanita dan lelaki menari termasuk ada yang tidak memakai pelitup muka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here