RATU gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi gagal dalam usahanya untuk melangkah ke pusingan akhir acara individu all-around pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.
Farah, 27, berada di kedudukan 53 keseluruhan dari 64 gimnas selepas menamatkan aksi pada pusingan kelayakan keempat, kerana hanya 24 gimnas terbaik sahaja akan layak ke final.
Dia juga terlepas peluang ke peringkat final dalam acara disiplin individu selepas rankingnya di setiap disiplin di luar kedudukan lapan gimnas terbaik.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang berkongsi mengenai perkara itu berpuas hati dengan persembahan Farah.
“Walaupun tidak berjaya melayakkan diri ke acara final individual apparatus dan all-around, persembahan yang ditunjukkan olehnya cukup memuaskan terutama dalam acara individual apparatus balance beam (palang imbangan) apabila mata yang dipungut menunjukkan peningkatan prestasi.
“Pungutan mata all-around juga hanya dengan perbezaan kurang 1.333 mata berbanding pencapaiannya di World Championship 2019,” katanya. – Malaysiapost

