Ingat sumpah ‘premum non nocere’ – Dr Noor Hisham

0
1

SEMUA pegawai perubatan lantikan kontrak diseru supaya tidak menyertai mogok atau hartal yang dijadualkan esok, kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan nyawa pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan menyertai perhimpunan haram juga akan menjejaskan kerjaya kumpulan berkenaan terutama pegawai perubatan yang masih muda.

Beliau turut menyeru dan mengingatkan rakan sekerja, doktor dan petugas kesihatan mengenai sumpah yang dibuat ketika memulakan profesion berkenaan iaitu ‘premum non nocere’ atau mengutamakan keselamatan pesakit.

“Kepada rakan sekerja kontrak yang masih muda, saya gesa anda supaya tidak sertai demonstrasi dan meninggalkan tanggungjawab terhadap pesakit.

“Ingatlah bahawa banyak nyawa dipertaruhkan dengan meninggalkan tugasan untuk demonstrasi yang boleh membahayakan nyawa pesakit dan juga kerjaya anda,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini.

Beliau memahami tuntutan yang dibuat bagi terus berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara tetap, yang kini kerajaan telah umumkan lanjutan kontrak selama dua tahun.

Katanya, tawaran itu memberi ruang untuk pindaan dibuat pada Akta Pencen bagi membolehkan jawatan tetap dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa pilihan pencen.

“Sementara itu, kerajaan juga mengizinkan mereka mengikuti pengajian kepakaran dan akan menawarkan jawatan tetap dengan caruman KWSP apabila ada peluang.

“Saya ingin mengingatkan bahawa keselamatan pesakit adalah keutamaan kita. Ingat sumpah yang dibuat dengan ikhlas dan hadir ketika pesakit memerlukan kita dan ketika negara sangat memerlukan kita.

“Kita adalah kubu pertahanan terakhir yang memberi perbezaan kepada pesakit dan setiap nyawa adalah penting,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here