Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula secara rasmi

0
1

SETELAH setahun tertangguh, akhirnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 membuka tirai secara rasminya, hari ini. 

Olimpik Tokyo 2020 membuka tirainya dalam upacara pembukaan yang luar biasa, tanpa penonton dibenarkan hadir menyaksikan upacara itu. 

Video memaparkan atlet menjalani latihan di rumah ketika pandemik, menjadi simbolik upacara pembukaan temasya sukan terulung dunia itu yang akhirnya dapat dilangsungkan ketika dunia ditawan pandemik Covid-19.

Selepas kiraan detik, percikan bunga api berwarna merah jambu menghiasi ruang udara Stadium Olimpik Tokyo. 

Upacara pembukaan di dalam stadium berkapasiti 68,000 tempat duduk itu dihadiri ratusan perwakilan termasuklah Maharaja Jepun, Naruhito; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; dan Wanita Pertama Amerika Syarikat, Jill Biden.

Maharaja Jepun turut mengumumkan temasya terbabit dibuka secara rasmi.

Terdahulu, Jepun menghadapi pelbagai kesukaran dan kritikan untuk meneruskan penganjuran Olimpik 2020 yang mendapat tentangan rakyat negara itu susulan perhimpunan lebih 11,000 atlet boleh meningkatkan lagi kadar jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, penganjur telah mengambil langkah pencegahan virus yang begitu ketat, tidak membenarkan penyokong dari luar buat kali pertama selain penyokong tempatan juga tidak dibenarkan masuk.

Atlet, kakitangan sokongan dan media juga tertakluk pada protokol ketat Covid-19 termasuklah menjalani ujian dan pemeriksaan kesihatan pada setiap hari.

Apapun rintangan, semangat Olimpik tetap terpancar pada penduduk Jepun selepas ratusan penyokong berhimpun untuk merasai suasana dan bunga api ketika upacara pembukaan diadakan.

Bagi Malaysia, Olimpik Tokyo 2020 diharap dapat menamatkan pemburuan pingat emas sulung negara dalam temasya sukan dunia itu. 

Pastinya pemburuan emas Malaysia disandarkan kepada Datuk Azizul Hasni Awang dalam acara keirin basikal, selain menaruh harapan kepada atlet badminton negara. 

Pada edisi kali ini, Malaysia menghantar 30 atlet yang bakal bertanding dalam 27 acara yang melibatkan 10 jenis sukan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here