Puteri Sarah agih daging korban, selami perasaan golongan kurang berkemampuan

0
1

PELAKON Puteri Sarah tidak melepaskan peluang untuk menyantuni masyarakat di Merbok, Kedah apabila turun padang mengagihkan daging korban.

Tindakan murni itu dilakukannya bersama Pertubuhan Kami Insan Tanah Air (KITA), selama dua hari bermula semalam.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada Pertubuhan Kami Insan Tanah Air kerana memberi peluang kepada saya untuk bersama mereka menyantuni warga Merbok dengan agihan daging korban sempena Aidiladha tahun ini”.

“Saya menerima pelawaan untuk menyertai program ini melalui Pegawai Khas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Saudara Aizat Azam kerana saya merasa terpanggil untuk turun padang membantu masyarakat yang mengalami kesukaran di waktu pandemik Covid-19 sekarang ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ini bukan soal mencari publisiti di sebalik kesusahan orang lain, sebaliknya tindakan ini dapat melahirkan keinsafan dan memuhasabahkan dirinya untuk menyelami perasaan golongan yang tidak bernasib baik.

“Saya berjalan kaki masuk ke kampung dan taman perumahan, pergi dari rumah ke rumah mengagihkan daging korban. Sangat menyentuh hati saya apabila dapat bertemu dengan masyarakat kampung dan melihat sendiri kehidupan mereka,” katanya.

Sejumlah lima lembu dikorbankan menerusi Program Ibadah Korban Perdana ini.

Keseluruhannya, sebanyak 600 pek daging berjaya dibungkus dan diagihkan kepada warga Merbok dalam tempoh dua hari program.

Selain daging korban, turut diagihkan barangan keperluan harian dan bahan makanan.

“Bagi saya, ini sahaja caranya untuk turun padang melihat sendiri masyarakat. Saya tak kisah walaupun ramai yang tidak mengenali saya apabila saya ke rumah mereka menyampaikan daging korban itu. Yang penting bagi saya, mereka disantuni dan diambil peduli oleh kita semua”.

“Pada masa sama, saya juga menyeru agar rakan-rakan artis lain turut mengambil kesempatan seperti ini untuk menyantuni masyarakat dengan kerja-kerja amal kebajikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here