Syed Saddiq sebak, duit jaminan dapat kumpul dalam 24 jam

0
1
syed saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merasa sebak apabila seorang pakcik menyumbang RM100 sekali gus membantu beliau mengumpul wang jaminan mahkamah.

Menerusi satu hantaran Facebook, Syed Saddiq turut mengumumkan kutipan dana untuk jaminan mahkamah telah mencukupi dan ditamatkan.

“Ingatkan nak minta bantuan. Rupanya nak sumbangkan RM100 ke saya. Saya terasa sebak,” katanya.

Menurutnya, pakcik itu adalah antara 9,836 orang yang membantu menyumbang untuk wang jaminan sebanyak RM330,000.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau telah menutup pengumpulan dana itu kerana berjaya memperoleh lebih banyak wang daripada yang diperlukan.

Dalam masa 24 jam, Syed Saddiq memaklumkan beliau berjaya mengumpul dana berganda iaitu RM715,523.

“Saat beginilah saya teringat kenapa saya menyertai bidang politik. Bukan kerana jawatan atau wang, tetapi untuk membina Malaysia yang maju dan bermaruah.”

Syed Saddiq yang juga pengasas parti MUDA turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang untuk wang jaminannya itu dengan kapsyen “terhutang budi selamanya” dan akan terus melawan mereka yang menekannya.

“Tiada ugutan. Tiada ancaman. Tiada tawaran yang mampu melemahkan semangat saya untuk mengutamakan Malaysia. “Saya di sini kerana rakyat. Jatuh bangun di tangan rakyat,” katanya.

Semalam, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menyeleweng RM1.12 juta milik Armada Bersatu.

Daripada jumlah itu, RM120,000 dikatakan dana parti untuk Pilihan Raya Umum 2018, manakala RM1 juta lagi didakwa dikeluarkan tanpa izin kepemimpinan parti.

Susulan itu mahkamah membenarkan jaminan RM330,00 bagi kedua-dua pertuduhan.

Syed Saddiq telah membayar RM80,000 manakala bakinya sebanyak RM250,000 perlu dijelaskan pada Selasa minggu hadapan.

Pengumpulan dana telah dimulakan oleh Syed Saddiq menerusi media sosial, malam semalam.

Beliau telah merayu orang ramai membantunya menjelaskan baki wang jaminan itu selain bayaran kos guaman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here