POLIS memberi amaran kepada orang ramai agar tidak berhimpun atau berkonvoi pada 24 Julai susulan tular di media sosial mesej mengenai agenda itu bakal diadakan di Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan ajakan atau seruan pihak tertentu untuk berhimpun di ibu negara.
“PKP (perintah kawalan pergerakan) masih lagi berkuat kuasa dan sebarang perhimpunan dan aktiviti sosial adalah dilarang sama sekali,” kata kenyataan itu, hari ini.
Menurutnya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan, termasuk mengenakan kompaun.
Sabtu lalu, media melaporkan 20 penunjuk perasaan berpakaian serba hitam menganjurkan bantahan berskala kecil di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Kumpulan yang menggelar sebagai Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) itu membuat bantahan terhadap kerajaan kerana didakwa gagal menangani Covid-19.
Kumpulan itu juga turut melakukan kempen di media sosial dengan tanda pagar #Lawan yang mempamerkan gambar bendera hitam.
Kumpulan itu telah melakukan tunjuk perasaan di Dataran Merdeka dengan membawa patung berupa mayat sebagai simbolik jumlah kematian kes bunuh diri akibat wabak, selain 14 bendera hitam untuk menggambarkan kemarahan rakyat di seluruh negara.
Selain itu, mereka juga menuntut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, sesi persidangan penuh Parlimen diadakan, selain moratorium automatik untuk semua. – Malaysiapost

