Dah janji vaksin percuma, kenapa buat ‘U-turn’, soal Rafidah

0
1

TAN Sri Rafidah Aziz sekali lagi mempertikaikan keputusan membenarkan penjualan 14 juta dos vaksin Sinovac kepada negeri dan pihak swasta.

Beliau berkata, sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat, manakala warga asing pula perlu membayarnya.

“Ini yang dikatakan Perdana Menteri kepada rakyat pada November 2020. Pada yang tidak percaya, saya memang membaca dan ingat.

“Kenapa buat pusingan U sekarang membenarkan mana-mana syarikat menjual vaksin?” soalnya di Facebook, hari ini.

Kenyataan Rafidah itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan pembabitan sektor swasta memang menjadi sebahagian daripada perancangan kerajaan sebaik bekalan vaksin yang mencukupi telah diperoleh.

Menurut Khairy, ini bagi mempercepatkan kadar vaksinasi di negara ini.

Dua hari lalu, Rafidah mendesak Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menjelaskan keputusan membenarkan 14 juta dos Sinovac dijual kepada negeri dan pihak swasta.

Katanya, rakyat tidak wajar membayar untuk “sesuatu yang sepatutnya percuma.”

Kenyataan itu susulan pengumuman bahawa Pharmaniaga Bhd akan menjual vaksin berkenaan kepada negeri dan syarikat swasta yang berminat mulai bulan ini sehingga September.

Syarikat farmaseutikal itu telah diberi lampu hijau berbuat demikian oleh JKJAV.

Bagaimanapun, Khairy berkata, syarikat farmaseutikal dengan akses bekalan vaksin boleh menawarkannya di pasaran swasta bulan depan dengan harga siling ditetapkan bagi memastikan tidak dijual pada harga terlalu tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here