Pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak ditawar kontrak dua tahun

0
2

KABINET hari ini bersetuju supaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi kenyataan berkata ia bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Beliau berkata, Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Katanya, langkah penyelesaian segera itu bagi memastikan pegawai yang berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.

“Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah dihadapi kumpulan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

“Bagi memastikan laluan kerjaya setara dan adil, Kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diurus mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

“Antara persetujuan lain adalah menambah baik kemudahan atau faedah ditawar kepada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal,” katanya.

Perdana Menteri berkata semua keputusan itu juga akan memberi ruang kepada kerajaan memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

Beliau menambah, kerajaaan amat menghargai sumbangan doktor sebagai barisan hadapan dalam berhadapan Covid-19 dan akan terus komited memastikan kebajikan dan laluan kerjaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak diberi perhatian sewajarnya serta bersifat adil.

Katanya lagi, semua keputusan itu dibuat setelah Kementerian Kesihatan (KKM) membentangkan satu kertas cadangan kepada Mesyuarat Kabinet pada 14 Julai lalu.

Muhyiddin berkata, bagi memastikan ia diberi perhatian penuh dan ditangani secara menyeluruh serta lebih berkesan, beliau telah mengarahkan KKM dan kementerian serta agensi berkaitan merangka pelan komprehensif dan inklusif merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek sederhana dan pelan jangka panjang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here