Bila dua orang berselisih keduanya tidak untung – Ebit Lew

0
1

“SAYA benar-benar maafkan dari hati semua yang memfitnah dan menjatuhkan saya,” kata pendakwah Ebit Lew.

Menerusi hantaran terbaharu di Facebooknya, Ebit berkata beliau memaafkan semua yang pernah memanggilnya syaitan, dajjal, babi,bodoh, penunggang dan lain-lain.

“Saya maafkan sesiapa sahaja yang telah menyakiti arwah ayah saya, bidadari saya dan anak-anak saya. Saya maafkan semua. Kita semua sebuah keluarga sampai bila-bila.

“Saya dengan ini dari hujung rambut sampai hujung kaki minta maaf pada sesiapa sahaja yang langsung atau tak langsung atas apa yang berlaku ini.

“Niat saya hanya nak menjelaskan tuduhan terhadap saya. Saya minta maaf ye pada semua,” tulisnya.

Ebit berkata, beliau turut berpesan pada diri sendiri dan semua supaya bersatu hati.

“Marilah kita bersama berdoa supaya Allah angkat musibah Covid-19 ini. Semoga Allah beri kekuatan pada barisan hadapan dan semua yang ditimpa virus ini sembuh. Berat keadaan negara kita semua.

“Sedang kita berselisih begini ramai orang miskin dan anak yatim lapar. Ramai hilang kerja dan tempat tinggal.

“Tanyalah khabar jiran dan keluarga terdekat. Bila dua orang berselisih keduanya tidak untung. Tapi yang untung ialah syaitan. Sekali lagi saya minta maaf. Doakan saya ya.

“Cukuplah sampai sini. Ya Allah jika ada pahala untuk semua yang berlaku ini saya hadiahkan semua pahalanya buat mak ayah saya,” katanya lagi.

Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial mengenai pelbagai dakwaan terhadap oleh penyanyi rap, Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri berhubung misi kemanusiaan ke Gaza oleh Ebit.

Semalam, pendakwah itu menjawab satu persatu tuduhan yang dilemparkan terhadapnya menerusi siaran langsung di media sosial.

Kelmarin, Ebit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi susulan tuduhan-tuduhan terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here