Pesta liar: Seorang anggota polis disahkan positif dadah

0
1

SEORANG daripada anggota polis yang ditahan ketika berhibur di sebuah balai polis di Kajang, didapati positif dadah.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad susulan hasil ujian saringan awal dijalankan terhadap lapan yang ditahan dalam serbuan itu kelmarin.

Katanya, anggota tersebut positif dadah jenis THC sementara yang lain negatif,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang ketua polis balai (OCS) bersama tiga anggotanya serta empat wanita ditahan ketika berhibur dalam bilik khas di balai polis diketuainya di Kajang, kelmarin.

Serbuan dijalankan pasukan JIPS Bukit Aman pada jam 6 petang sebaik menerima maklumat dari orang awam.

Ketika serbuan, sebahagian mereka dipercayai sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam sebuah bilik di tingkat dua balai berkenaan.

Anggota polis dan wanita yang ditahan sedang menari dan berkaraoke di dalam bilik gelap yang dipasang lampu berputar bagaikan dalam disko.

Hasil pemeriksaan, polis menahan OCS berpangkat Sub Inspektor, dua koperal dan seorang koperal sokongan serta empat wanita orang awam berusia 21 hingga 37 tahun.

Polis juga merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan satu unit tv.

Turut dirampas lima botol mengandungi air ketum serta gambar lucah salah seorang anggota yang ditahan bersama seorang wanita. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here