PEMUDA Umno meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) supaya segera menjawab tuduhan mengatakan Syed Saddiq Abdul Rahman didakwa di mahkamah kerana tidak mahu menyertai PN.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia perlu dijawab bagi mengelak spekulasi serta tuduhan berkenaan perkara itu, susulan Ahli Parlimen Muar terbabit didakwa atas kesalahan pecah amanah di mahkamah hari ini.
“Jangan cetuskan persepsi dan buat hukuman sebelum mahkamah jatuhkan hukuman, sebagaimana yang dihadapi oleh ramai pemimpin-pemimpin Umno sebelum ini.
“Apa-apapun, Pengerusi Parti PN, Tan Sri Mahiaddin kena segera jawab tuduhan mengatakan Syed Saddiq didakwa kerana tidak mahu sertai PN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Asyraf Wajdi turut bertanya perkembangan pendakwaan ke atas pemimpin-pemimpin yang melompat ke Bersatu dan PN seperti Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jeyakumar: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan lain-lain.
“Apakah benar dakwaan bahawa semua menjadi suci bila bersama dengan Parti Perikatan Nasional,” katanya lagi.
Semalam, Syed Saddiq menerusi Facebooknya berkata beliau lebih rela masuk mahkamah daripada PN dan mendakwa menerima ugutan politik untuk menyokong kerajaan PN sejak setahun lalu.
“Sudah lebih setahun saya telah diugut untuk didakwa jika tidak menyertai PN.
“Setiap kali ada undian penting di Parlimen, ugutan akan datang. Pada bulan Julai, Disember, Januari dan kini seminggu sebelum Parlimen bersidang,” katanya.
Pagi tadi Syed Saddiq mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Beliau turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua di mahkamah sama iaitu menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). -Malaysiapost

