Zahid bidas propaganda ‘pemimpin Umno hanya pandai kritik’

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan propaganda kononnya parti itu hanya pandai mengkritik tetapi gagal memberi pandangan untuk membendung wabak Covid-19.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak benar kerana pemimpin Umno konsisten memberi cadangan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) usaha menangani penularan Covid-19 serta menjaga rakyat.

“Hari ini saya mahu jawab sedikit propaganda yang kerap ditujukan kepada saya dan Umno. Konon hanya mengkritik tetapi gagal beri pandangan yang dapat membantu sejak PKP 2.0 bermula.

“Tidak benar pimpinan Umno hanya tahu kritik, namun tidak beri cadangan untuk membendung Covid-19. Biar saya beri pencerahan betapa kita konsisten memberi cadangan kepada kerajaan PN.

“Pandangan bagaimana menangani penularan Covid-19, namun pada sama dapat menjaga rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasa bermula 13 Januari lalu jangkitan harian Covid-19 mencecah 3,027 kes.

Katanya, namun PKP berkenaan disifatkan sangat longgar dan tidak berkensan untuk mengurangkan kes, sebelum Umno mencadangkan “total lockdown” dilaksanakan.

“Kita minta “total lockdown”, tetapi bantuan mesti diberi kepada rakyat untuk bertahan. Antaranya bantuan tunai, moratorium pinjaman dan pengeluaran wang akaun KWSP kali kedua.

“Kesemua cadangan itu tidak dilayan dengan begitu banyak alasan dan teori. Dalam masa sama pimpinan Umno berpendapat program vaksinasi perlu dipercepatkan.

“Kerajaan PN akhirnya umum “total lockdown” mulai 1 Jun 2021 kerana jangkitan telah cecah 8,000 kes sehari. Bagaimanapun “total lockdown” bukanlah “total lockdown” dalam erti kata yang sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, dengan pelaksanaan PKP bersifat separuh masak ia sekali gus masih gagal untuk mengurangkan kes jangkitan.

“Namun rakyat menderita kerana kurang dibantu apabila sebahagian sektor ekonomi ditutup. Maka kita terus mencadangkan pelaksanaan “total lockdown” yang sebenar.

“Kita minta lebih banyak bantuan untuk rakyat dan suntikan vaksin dipercepatkan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, lebih mengecewakan apabila selepas Kerajaan PN mengumumkan moratorium pinjaman dan skim i-Citra pada pada 28 Jun 2021 namun “total lockdown” tetap tidak dilaksanakan.

“Pada 17 Julai 2021 kerajaan PN umum mahu beri kelonggaran kepada yang telah terima dua dos suntikan. Sedangkan kes jangkitan harian telah cecah lima angka atau sekitar 12,000 kes sehari.

“Saya minta kelonggaran diteliti kerana KKM kata mereka ini masih boleh dijangkiti dan menjangkiti. Jika jujur mahu rakyat segera diberi kelonggaran maka imunisasi kelompok perlu dipercepatkan,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, jadi tidak timbul isu pimpinan Umno hanya tahu mengkritik, tetapi tidak memberi cadangan.

“Isu yang sebenar adalah tentang kisah sesebuah kegagalan dalam menguruskan pandemik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here