Najamuddin Mohd Nor
PENDAKWAH dermawan, Ebit Lew menafikan menggunakan duit sumbangan orang ramai untuk menjayakan misi kemanusiaan rakyat Palestin di Gaza bulan lalu.
Menurutnya, tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali sekali gus menyangkal dakwaan dilemparkan terhadapnya.
“Segala pertuduhan itu tidak benar, saya ada bukti. Hari ini, saya buat laporan polis dan polis minta saya agar tidak memanjangkan lagi isu ini.
“Jadi, saya serahkan kes ini kepada peguam untuk tindakan selanjutnya sama ada untuk saman malu atau sebagainya. Selagi pegawai penyiasat belum rakam percakapan, saya tak boleh bercakap lebih-lebih hari ini.
“Lagi satu saya nafikan bahawa saya tidak membuka satu pun tabung untuk Gaza, semua kerja amal saya ke sana guna duit saya sendiri,” ujarnya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, petang tadi.
Terdahulu Ebit tiba kira-kira pukul 6.15 petang dengan kereta jenis Toyota Alphard berwarna putih dengan diiringi dua buah kenderaan lain.
Jelasnya, laporan polis itu dibuat berkisar kepada dakwaan dibuat Caprice atau pemilik nama sebenar, Ariz Ramli dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Sementara itu, Datuk Hasnal Rezua Merican selaku peguam yang mewakili Ebit berkata, laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan jika wujud unsur-unsur fitnah berbentuk jenayah terhadap anak guamnya.
“Kita akan mulakan tuduhan sivil kepada mana-mana pihak yang mengulangi fitnah terhadap anak guamnya dan akan heret mereka yang tidak bertanggungjawab ke mahkamah,” ujarnya.
Sebelum ini kecoh di media sosial mengenai perbalahan antara penyanyi rap, Caprice yang ingin mendedahkan sesuatu mengenai kehadiran Ebit bersama pasukannya di Gaza, Palestin baru-baru ini.
Ia kemudiannya disusuli dengan dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang menuduh Ebit menggunakan syarikat Hala yang mengenakan bayaran mahal bagi membolehkannya memasuki Palestin. – Malaysiapost

